Friday, March 26, 2010

HUTAN SIMPAN DI KENINGAU - PENDUDUK TEMPATAN DIBERIKAN NOTIS KELUAR

Mengulas kepada laporan akhbar Daily Express bertarikh 16hb. March 2010, menunjukkan betapa rapuhnya sikap kemanusiaan di Negara kita. Jabatan Perhutanan Sabah yang sepatutnya menggunakan pendekatan lebih baik ke atas penduduk tempatan di Keningau, bertindak menghalau mereka dengan memberikan notis untuk mengosongkan kawasan hutan simpan walaupun tahu kebanyakan penduduk yang tinggal di kawasan tersebut adalah orang-orang tempatan yang tidak bertanah maupun berpendapatan tetap. Sepatutnya, sebelum memberikan notis kepada mereka yang tinggal di kawasan tersebut, pihak Jabatan Perhutanan Sabah perlu berbincang dengan lebih telus bersama pihak-pihak berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan yang lain untuk mendapatkan pandangan ataupun, mendapatkan khidmat nasihat professional (kalau tidak mampu berfikir waras) bagaimana perkara ini dapat ditangani dengan lebih baik tanpa menjejaskan cara hidup penduduk di kawasan tersebut. Sekiranya mereka-mereka ini dihalau, kemanakah dan siapakah yang perlu bertanggungjawab ke atas mereka? sedangkan yang menghalau mereka adalah daripada pihak kerajaan sendiri iaitu Jabatan Perhutanan Sabah. Apa ertinya kita dinamakan sebagai rakyat malaysia yang merdeka jika kita terus ditindas atas nama kuasa.

Dalam perkara ini, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup juga telah meminta supaya Jabatan Perhutanan Sabah memberikan penjelasan kepada penduduk tempatan kenapa perlu kosongkan kawasan hutan simpan tersebut. Sayangnya kenapa hanya penjelasan yang diminta setiap kali rakyat menghadapi masalah? sedangkan tindakan penyelesaian terlalu susah untuk dilakukan. Kalau sekalipun ingin menjaga hutan simpan, rakyatpun perlu dijaga juga. Kalau sekadar memberikan alasan memang mudah. budak berumur 8 tahun pun pandai buat alasan apalagi mereka yang menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan. Sudah pasti lagilah banyak alasan. Kalau bekerja seperti ini, siapapun boleh, tidak perlu bersekolah tinggi-tinggi hanya cakap saja lepas itu duduk diam-diam tunggu gaji saja setiap bulan. Cuba fikir baik-baik, di mana rasionalnya hutan tanpa penghuni dan kerajaan ditubuhkan tanpa rakyat.

Sepatutnya sebagai manusia normal harus tahu bagaimana melaksanakan sesuatu peraturan selaras dengan konsep kemanusiaan sejagat. Peraturan-peraturan yang diwujudkan sepatutnya memberikan ruang untuk kita bernafas lega sekurang-kurangnya kita menikmati hidup yang lebih sistematik. Tapi apa sudah jadi..?. Tertindas, teraniaya dan hidup sengsara semakin menjadi-jadi disebabkan terdapat segelintir pegawai dalam kerajaan gila kuasa dan pangkat sehingga lupa asal usul mereka. Tidak berfikir panjang, mereka dengan perasaan berkobar-kobar ingin menunjukkan yang mereka berkuasa telah bertindak secara membabi-buta, dengan tanpa sedikitpun rasa belas kasihan mengarahkan penduduk tempatan keluar daripada kawasan hutan simpan yang telah mereka diami sekian lama, menjadikan episod ini lebih mengerikan. Ke mana dan di manakah mereka ditempatkan selepas diarah keluar, tidak pula diketahui. Yang pastinya mereka ini adalah penduduk tempatan tulin Sabah yang dikategori sebagai Rakyat Malang Malaysia (RMM) yang tidak dijaga sebagaimana kerajaan menjaga hutan simpan di negeri ini. Adakah konsep 1Malaysia RAKYAT DIDAHULUKAN DAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN telah lari daripada visi dan misi yang direncanakan oleh PM kita?.

No comments: