Sunday, July 15, 2007

KEUNIKAN PAKAIAN TRADISI SUKU KAUM DI SABAH

Pakaian tradisi suku kaum Dusun Tindal dari Kota Belud.


Pakaian tradisional dari
etnik Makiang Daerah Tongod.


Pakaian tradisi suku kaum Lundayeh dari
Sipitang yang mempunyai keunikan tersendiri.


Pakaian tradisi suku kaum Dusun dari Negara Brunei
Darullsalam yang hampir sama dengan pakaian tradisi tempatan di Sabah.

Pada kebiasaannya pakaian tradisional yang dipakai oleh penduduk sabah diperbuat daripada bahan asli. Pakaian-pakaian ini berwarna gelap atau hitam dan lazimnya dihiasi dengan sulaman dan hiasan tepi yang banyak. Satu ciri pakaian masyarakat asli yang sangat ketara ialah penggunaan tanjak dibuat daripada sehelai kain dastar yang berukuran tiga kaki persegi.

Bagi suku kaum Kadazandusun, warna hitam adalah warna asas tekstil yang digunakan untuk membuat pelbagai bahan pakaian untuk lelaki dan wanita. Bagaimanapun, hari ini pakaian-pakaian ini banyak dihiasi dengan sulaman yang berwarna-warni, labuci yang berkilat serta hiasan tepi daripada benang emas yang diimport.

Kesemua ini dipakai dengan tali pinggang duit syiling perak, rotan atau hiasan pinggang yang dibuat daripada manik, kalung manik serta hiasan perak dan lain-lain.

Kaum wanita suku kaum Rungus, Dusun Tindal dan Lotud serta wanita Kadazan dari Papar adalah jelas kelihatan warna-warni dan bentuk yang berbeza. Setiap pakaian yang dipakai oleh mereka ini mempunyai bentuk, corak dan motif yang berbeza yang menjadi ciri kaum di daerah masing-masing.

Persamaan dari segi cara dan bentuk pakaian nyata kelihatan dikalangan Dusun Lotud dan Bajau di daerah Tuaran dan Dusun Tindal di daerah Kota Belud. Lelaki dan wanita Bajau memakai baju berlengan serupa seperti pakaian kain sarung yang mana dahulunya ditenun dengan tangan. Sarung itu kini telah diganti dengan kain songket yang lebih mudah diperolehi.

Pakaian-pakaian ini pada sebelumnya dihiasi dengan beraneka jenis hiasan yang terdiri daripada barang-barang kemas, perak dan manik, hiasan diri dari perak dan barang terendak serta selendang.

Walaupun pembuatan tekstil tenunan tangan tidak lagi dilakukan secara meluas di Sabah, namun masih juga terdapat beberapa kumpulan asli tertentu kaum yang masih menghasilkan secara tradisional menggunakan mesin tenunan lama dan lungsin.

Masyarakat asli secara tradisi menenun gentian asli seperti `pisang lanut’(musa testiles), `lamba’(Curguligo latifolia) dan kapas(Gossypium herbaceum) dengan menggunakan tenunan lama untuk dijadikan kain yang kemudiannya diwarnakan dengan nila(indigofera tinetoria) untuk mendapatkan warna biru tua.

Warna ini adalah warna kegemaran kerana nila mudah diperolehi dan tidak mudah luntur. Bagi menghiasi pakaian lelaki dan perempuan pada masa lalu, batu akik merah, manik kaca berwarna, kulit kowri, butang putih atau cakera yang dibuat daripada cengkerang dan tembaga adalah penghias utama kepada pakaian-pakaian tersebut.

Bagaimanapun pada hari ini, kebanyakan hiasan-hiasan ini diganti dengan manik-manik plastik dan bahan moden yang lain seperti benang emas dan perak labuci serta benang berwarna. Untuk mengamati dengan lebih jelas lagi mengenai pakaian-pakaian tradisional di Sabah, anda dipelawa untuk datang melawat ke Muzium Negeri Sabah dimana semua pakaian-pakaian tradisi masyarakat Sabah ada dipamerkan di sini. Datanglah sempena Tahun Melawat MALAYSIA 2007.

Thursday, July 5, 2007

KENAIKAN HARGA BARANG DAN PEMIMPIN LEKA

Adalah amat menyedihkan apabila kenaikan harga barangan tidak mengikut kemampuan sebenar kuasa beli masyarakat di Malaysia. Jika kita melihat kenaikan gaji kakitangan awam, memang tiada komen. Tetapi sekiranya kita mengambilkira secara keseluruhan masyarakat negara kita, adakah semuanya berkerja dan berkhidmat dengan perkhidmatan awam?.. Saya berpendapat majoriti daripada rakyat di negara kita MALAYSIA adalah daripada golongan tidak berkerja, berpendapatan rendah dan bukan berkhidmat dalam perkhidmatan awam. Melihat keadaan ini, sebenarnya hanya sebilangan kecil saja rakyat yang benar-benar dapat merasai sumber kekayaan negara kita dan yang selebihnya terpaksa berserah pada nasib.

Kenaikan harga barangan sebenarnya boleh dikawal jika pemimpin-pemimpin yang berkenaan dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik. Pada pilihanraya akan datang, jika rakyat dapat menilai kelayakan dan kredibiliti seorang pemimpin untuk dipilih dan bukannya atas nama parti, saya berpendapat negara kita akan dapat diuruskan dengan lebih baik lagi. Sesebuah parti tidak akan dapat melakukan apa-apa melainkan pemimpin-pemimpin dalam parti itulah yang perlu berkerja keras.